Fasa 5, 6 Sektor Sukan Dan Rekreasi Masih Tidak Dapat Dilaksana – KBS

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih belum bersedia untuk melaksanakan Fasa Lima dan Enam bagi sektor sukan dan rekreasi, berikutan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia ketika ini, kata menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Menurut beliau, KBS tidak mahu membuat keputusan terburu-buru dan kemudian menarik balik arahan tersebut.

“Ada negara yang pada peringkat awal membenarkan (kehadiran) penonton, akhirnya menarik semula (keputusan itu),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Esports Integrated (ESI) di sini, hari ini.

ESI adalah inisiatif baharu daripada KBS yang dikuasakan oleh ‘Impact Integrated’ untuk mendorong pertumbuhan dan kepelbagaian, dalam industri e-sukan tempatan.

Fasa Lima sektor sukan dan rekreasi merujuk kepada kehadiran penonton ke stadium dengan skala kecil, manakala Fasa Enam ialah kehadiran penonton ke stadium dengan skala besar, serta penyertaan atlet luar negara dalam kejohanan tempatan.

Pada masa ini, Fasa Empat sektor sukan dan rekreasi tempatan dibenarkan untuk dilaksanakan bermula 15 Ogos lepas, dengan kebenaran menganjurkan kejohanan dan pertandingan tempatan untuk sukan bersentuhan fizikal, tanpa penonton.

“Pada waktu ini, saya harapkan sangat bahawa mereka yang dibenarkan setakat Fasa Empat terus patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Sebab selagi mana kerajaan mempunyai keyakinan bahawa dalam bidang sukan tidak ada langsung penularan kes baharu, selagi itu ia akan menjadikan peluang saya untuk mengemukakan sektor sukan untuk ke Fasa Lima dan Enam menjadi lebih mudah. Pada waktu ini, kami (KBS) puas hati dengan pelaksanaan fasa yang dilakukan,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.