COVID-19: Program Libatkan Ketua Menteri Melaka, Setiausaha Kerajaan Negeri Dan Exco Ditangguhkan

MELAKA, 1 Okt – Segala program melibatkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr Hasim Hasan serta semua Exco kerajaan negeri ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan terdapat kes positif COVID-19 di negeri ini.

Menurut Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam satu kenyataan hari ini, selain itu, perjumpaan yang melibatkan Ketua Menteri Melaka di Pejabat Ketua Menteri Melaka juga ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Kenyataan itu menyebut bagi orang ramai yang mahu berurusan di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, mahupun pejabat-pejabat kerajaan lain di seluruh negeri Melaka, mereka mesti mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa berkaitan bagi membendung penularan wabak tersebut yang dilaporkan kembali meningkat di seluruh negara.

“Mengenai gambar yang tular mengenai proses disinfeksi yang dilakukan di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, ingin ditegaskan bahawa ia adalah proses berkala yang sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan bagi membendung penularan wabak COVID-19 tersebut.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai di seluruh negeri Melaka dinasihatkan agar tidak panik dengan laporan-laporan yang ditularkan di media sosial, sebaliknya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa sehingga 31 Dis ini,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.