UMNO Sebuah Perjuangan… Bangkit Biarpun Digoyah, Ditarah, Dipatah, Diratah

Pasca Pilihan Raya Negeri Sabah, proses penamaan Ketua Menteri menyaksikan pertembungan calon BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan calon PN, Datuk Hajiji Noor.

Hajiji akhirnya terpilih. Penyokong PN bersorak. Mereka menyumbang lebih kerusi DUN ke arah kemenangan GRS. Akar umbi UMNO/BN sekali lagi memendam kecewa dan rasa dikalahkan (‘defeated’) oleh PN.

Ramai telah lupa 26 bulan yang lalu, selepas BN memenangi cukup bilang kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri Sabah, rakan sekutunya UPKO telah berpaling tadah dan bermukah dengan Warisan.

Ramai juga telah lupa hanya 21 bulan yang lalu 5 Ahli Parlimen, 9 Ahli Dewan Undangan Negeri, 2 Senator serta 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah telah berlaku khianat dan ‘keluar baris’ perjuangan.

Mereka yang sifar maruah dan tipis semangat juang ini bukan setakat mengkhianati UMNO, tetapi meninggalkan sekujur tubuh UMNO untuk berkubur tanpa bernisan.

Ada media tempatan menyifatkan “UMNO Sabah lumpuh”

Tidak mengapa, lapangkan dada dan sapu airmatamu, wahai pejuang sejati…

Bagai burung phoenix yang bangkit dari abu, UMNO Sabah tidak pantas menemui ajal. Ia dirawat oleh ahli akar umbi sehingga mampu bangun semula untuk memenangi 14 kerusi DUN pada PRN Sabah minggu lalu. UMNO Sabah sudah cukup bertenaga untuk mempasak kuda-kuda tetapi belum cukup gagah untuk bersilat olahraga. Memenangi 14 kerusi ‘is exceptionally good, but not good enough’ untuk menduduki kerusi Ketua Menteri.

Tidak mengapa, lapangkan dada dan sapu airmatamu, wahai pejuang sejati…

UMNO berjiwa amat besar apabila tidak menuntut semula kerusi-kerusi DUN yang dimenanginya dahulu dan membenarkan di antaranya Datuk Hajiji Noor (Sulaman), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias) dan Datuk Nizam Titingan (Apas) untuk mempertahankan kerusi-kerusi tersebut di atas tiket PN. Labanya dikaut PN dan Hajiji menjadi Ketua Menteri.

Tidak mengapa, lapangkan dada dan sapu airmatamu, wahai pejuang sejati…

Pohon UMNO boleh digoyah, batangnya boleh ditarah, pelepahnya boleh dipatah, buahnya boleh diratah namun akar tunjangnya akan tetap utuh menyemarakkan hayat perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air.

Hasnal Rezua Merican

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.