98 Ditahan Ingkar PKPP Dengan Aktiviti Kelab Malam Kekal Kesalahan Tertinggi

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Masih ramai yang terus ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila seramai 98 individu ditahan semalam dengan 34 daripada mereka kerana aktiviti di dalam pub dan kelab malam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan lain termasuk penjarakan fizikal sebanyak 24 kes, tidak memakai pelitup muka (22), gagal melunaskan caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (lapan).

“Daripada 98 yang ditahan itu, 95 individu dikompaun dan tiga lagi direman,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini, hari ini.

Beliau berkata semalam turut menyaksikan seramai 34 pendatang asing dan empat penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi.

Sebanyak 84 sekatan jalan raya Ops Benteng dijalankan semalam oleh pelbagai agensi penguatkuasa, katanya.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata hasil pemeriksaan khas oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam mendapati sebanyak 1,186 premis perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP manakala 18 premis diberi nasihat kerana tidak patuh.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 37,452 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 buah hotel dan 11 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 8,144 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 29,202 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

“Mereka telah pulang dari 33 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.