Sulaiman Seru Lebih Ramai Bukan Melayu Sertai Askar Wataniah Melaka

MELAKA, 28 Sept – Kaum bukan Melayu di Melaka digalakkan menyertai Rejimen 514 Askar Wataniah Melaka yang pada masa ini mempunyai kira-kira 3,000 anggota dan pegawai.

Ketua Menteri yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata daripada jumlah itu, anggota bukan Melayu hanya sekitar lima peratus.

“Kita melihat penyertaan kaum lain agak kurang dan kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah keanggotaan Askar Wataniah di Melaka pada masa akan datang terdiri daripada kaum bukan Melayu.

“Kekuatan pasukan ini, kalau disertai pelbagai kaum, saya yakin Askar Wataniah akan bertambah hebat lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Penghargaan Operasi Penawar COVID-19 di Kem Bukit Beruang di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 300 pegawai dan anggota Rejimen 514 Askar Wataniah menerima sijil penghargaan manakala 50 pegawai dan anggota sukarelawan menerima sijil tamat Kursus Asas Perajurit Muda.

Sulaiman berkata pasukan Askar Wataniah merupakan komponen penting dalam Angkatan Tentera Malaysia yang berperanan membantu angkatan tetap selari dengan konsep membantu ganti dalam sebarang konflik atau situasi kecemasan termasuk mengekang penularan COVID-19.

Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada 300 pegawai dan anggota Rejimen 514 Askar Wataniah yang membantu Polis Diraja Malaysia dalam pelbagai tugas termasuk rondaan dan sekatan jalan raya di sekitar negeri itu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.