Penyesuaian Insentif Bantu Rakyat Di Sempadan Negara

PADANG BESAR, 28 Sept – Kerajaan sedang melakukan penyesuaian insentif yang diberikan khususnya kepada peniaga di kawasan sempadan yang terkesan oleh penularan pandemik COVID-19, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

“Tujuan kami turun padang hari ini adalah bagi mendengar apa sebenarnya sedang berlaku dan bagaimana rakyat sedang menghadapi keadaan ini. Input yang diperoleh akan diguna dalam merangka dasar bagi membantu rakyat,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja sehari ke Perlis di sini, hari ini.

Mohd Shahar berkata kadang-kadang insentif yang diberikan kerajaan mungkin hanya sesuai di sesetengah kawasan dan tidak menyeluruh.

“Kami turun hari ini membuat penyesuaian terhadap beberapa insentif. Pada ketika ini kaedah fit for all dalam mengukur keperluan rakyat adalah tidak relevan dan sesuai lagi. Sebagai contoh keadaan di Padang Besar tidak sama dengan di Bukit Kayu Hitam, Kedah atau Rantau Panjang, Kelantan.

“Maklumat yang diperoleh hari ini akan dibawa ke Putrajaya dan akan diperhalusi agar pembuat dasar dapat mengetahui apa yang sebenar berlaku di sempadan negara,” katanya.

Beliau turut meminta mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 agar tampil bertemu dengan agensi berkaitan bagi mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan sebelum ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.