KKM Sambung Kontrak Enam Bulan Kepada 2,070 Pegawai – DR Adham

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Kontrak seramai 2,070 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) disambung selama enam bulan lagi, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Beliau berkata penyambungan kontrak itu yang bernilai RM81 juta akan ditampung menerusi Kumpulan Wang COVID-19 (Tabung COVID-19)

“KKM telah menerima makluman bahawa Kementerian Kewangan pada 18 Sept bersetuju meluluskan penyambungan kontrak secara one-off enam bulan lagi bagi penjawat berkenaan. Kelulusan itu sebagai tambahan kepada kontrak enam bulan sedia ada yang diberikan sebelum ini.

“Kelulusan itu melibatkan 79 pegawai perubatan (yang melengkapkan khidmat wajib sahaja kerana telah mengikuti latihan siswazah di luar negara), 852 pegawai pergigian dan 1,139 pegawai farmasi yang telah menamatkan latihan/khidmat wajib,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata penyambungan kontrak itu adalah manifestasi keprihatinan kerajaan bagi membolehkan pegawai meneruskan penyampaian perkhidmatan di fasiliti kesihatan di bawah KKM. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.