GRS Namakan Hajiji Sebagai Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU, 28 Sept – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara menamakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Hajiji yang juga Ahli Dewan undangan negeri (ADUN) Sulaman mengesahkan perkara itu dan beliau akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri pada 10.30 pagi esok.

“Saya ingin memaklumkan kami GRS, terdiri daripada PN (Perikatan Nasional), BN (Barisan Nasional) dan PBS (Parti Bersatu Sabah) telahpun bersetuju bersama untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Kami telah bersetuju sebulat suara bahawa mereka telah menamakan saya sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya pada sidang media khas, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media yang turut disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen ialah Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim serta barisan wakil rakyat daripada GRS.

Hajiji turut menzahirkan ikrar bahawa wakil rakyat GRS akan menunaikan janji serta menjalankan mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah dengan sebaiknya.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Sabah kerana memilih pemimpin daripada GRS,” tambah Hajiji yang Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Ditanya mengenai barisan jemaah menteri, Hajiji yang juga Pengerusi PN Sabah berkata perkara itu akan diumumkan selepas selesai majlis mengangkat sumpah.

Sementara itu, Bung Moktar berjanji kerajaan negeri baharu yang diterajui GRS akan berhenti berpolitik dan sebaliknya menumpukan usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi Sabah.

“Adalah menjadi tanggungjawab besar kerajaan negeri yang baharu ini untuk kita sama-sama memulakan langkah memastikan rakyat di bawah mendapat pembelaan,” kata Bung Moktar yang memenangi kerusi Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lepas.

Terdahulu hari ini, Jabatan Penerangan Sabah memaklumkan Bernama upacara mengangkat sumpah jawatan ketua menteri akan diadakan esok bermula 10.30 pagi di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Semalam, Bung Moktar dilaporkan berkata Juhar meminta diberikan masa untuk menentukan siapa ketua menteri yang baharu selepas mengadakan pertemuan dengan beliau, Hajiji, Jeffrey dan Jahid.

Pada PRN itu, GRS yang terdiri daripada PN, BN dan PBS memperoleh 38 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan sekali gus layak membentuk kerajaan, sementara Warisan Plus dan sekutunya memenangi 32 kerusi dan baki tiga lagi dimenangi oleh calon Bebas. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.