Menang PRN, Bukti Rakyat Mahu GRS Terajui Sabah

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, membuktikan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap GRS untuk menerajui pentadbiran negeri itu.

Justeru, kemenangan GRS di 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diterjemah dengan melaksanakan segala amanah yang diberi untuk memajukan pembangunan Sabah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan calon yang memenangi PRN itu supaya menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan sebaiknya demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara.

Meraikan kejayaan GRS, Abdul Hadi berkata PAS akan terus komited menyumbang peranannya dalam usaha memperkukuh perpaduan dan membela kebajikan rakyat secara bersama.

“Tahniah kepada GRS yang diterajui Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) atas kemenangan dalam PRN Sabah. Kepada pengundi, terima kasih atas kepercayaan ini,” katanya dalam laman Facebook.

Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kemenangan GRS adalah manifestasi pilihan tulus rakyat Sabah melihat dan merasai kemampuan PN yang dapat mentadbir dengan lebih baik di peringkat Persekutuan selain faktor calon daripada gabungan itu yang lebih berupaya dan kompeten berbanding saingannya.

Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya berkata keputusan PRN semalam menandakan rakyat Sabah memberikan sokongan yang utuh kepada GRS untuk membawa kemajuan dan pembangunan di negeri itu.

“Mandat yang diberikan ini merupakan tanggungjawab yang amat besar kepada pemimpin GRS dalam usaha berterusan untuk memulihkan negeri dan membawa pembangunan mampan yang akan dinikmati seluruh rakyat,” katanya.

Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob juga menerusi perkongsian di Facebooknya hari ini berkata melalui demokrasi tersebut, ia menunjukkan keyakinan dan kepercayaan rakyat Sabah kepada GRS yang diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya percaya kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti adalah sebuah kerajaan yang stabil demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat Sabah. Selamat berkhidmat kepada semua wakil rakyat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada jentera PAS yang turut berkempen pada PRN itu.

Di NEGERI SEMBILAN, Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berharap semua pihak menghormati keputusan rakyat Sabah supaya kerajaan negeri yang bakal dibentuk menjadi lebih stabil.

“Kepada mereka yang menang, masa bekerja telah tiba. Jangan lagi bertangguh dan tunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan sebaiknya. Kepada mereka yang tewas, semoga semangat demokrasi terus kita raikan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau Khairy Jamaluddin pula berkata kerjasama GRS pada PRN itu wajar dijadikan asas dan model contoh kerjasama yang lebih baik di peringkat nasional antara BN dengan PN terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Rakyat Sabah telah bersuara. Buat yang menang, berbincanglah baik-baik dalam pemilihan Ketua Menteri yang baharu. Kepada yang kalah, diharap dapat berlapang dada dengan keputusan,” katanya.

Di MELAKA, Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata rakyat Sabah telah membuktikan kemahuan mereka terhadap kerajaan yang diinginkan dengan memberi kemenangan kepada GRS.

Sementara di KUALA LUMPUR, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan prestasi gabungan Warisan Plus yang memperoleh 32 kerusi dalam PRN Sabah sebagai pencapaian yang cukup baik walaupun tidak dapat membentuk kerajaan negeri.

Di KEDAH, Menteri Besarnya Muhammad Sanusi Md Nor berkata keputusan itu menunjukkan bahawa rakyat kini lebih meyakini kemampuan kerajaan Persekutuan pimpinan Muhyiddin selain memberikan isyarat yang jelas kepada keputusan pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata banyak pengajaran boleh diambil daripada PRN khususnya ia dilaksanakan dalam situasi negara dilanda pandemik COVID-19.

Di PERAK pula, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau menyifatkan kemenangan GRS di Sabah menunjukkan tahap kematangan pemikiran rakyat di negeri itu.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan GRS yang terdiri daripada PN, BN, dan PBS memenangi 38 DUN manakala Warisan Plus (Warisan, DAP, Amanah, UPKO dan PKR) hanya memperoleh 32 kerusi DUN dan baki tiga kerusi DUN Sabah dimenangi calon Bebas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.