Tanda Pagar #PRNSabah Warnai Hari Pengundian PRN Sabah

KOTA KINABALU, 26 Sept – Platform media sosial digunakan pengundi untuk berkongsi perjalanan proses pengundian bagi merakam peristiwa bersejarah memilih pentadbiran kerajaan negeri yang baharu dalam suasana pandemik COVID-19.

Tanda pagar (Eng: hashtag) #PRNSabah #SabahMemilih #SabahBangkit digunakan pengundi khasnya golongan muda dengan memuat naik gambar di akaun Twitter, Facebook dan Instagram, mulai dari sesi mengimbas kod aplikasi MySejahtera sewaktu tiba di pusat mengundi sehinggalah selesai mengundi dengan menunjukkan jari telunjuk dicalit dakwat hitam.

Ada juga yang berswafoto bersama-sama rakan selepas selesai mengundi dengan pelbagai kapsyen antaranya; “kami sudah selesai mengundi”, “Selamat mengundi warga Sabah, pilihan di tangan anda” dan “Good morning Sabahan, get out and vote:”

Sehingga jam 12 tengah hari, cuaca cerah di kebanyakan tempat selain proses pengundian terus berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, serta kelibat petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis, dan Kementerian Kesihatan terus komited bertugas memastikan keadaan terkawal.

Jauh di pedalaman kira-kira 80 kilometer dari ibu negeri, calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menunaikan tanggungjawabnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tambunan pada jam 9.50 pagi.

Beliau yang lengkap berpakaian tradisional suku kaum Kadazan Dusun termasuk memakai tengkolok yang dikenali Siga itu, sempat beramah mesra dengan pengundi dan petugas SPR yang berada di kawasan tersebut.

Kira-kira 90 minit kemudian, calon kerusi DUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, selesai mengundi di SMK Bukit Garam, Kinabatangan sambil menitipkan pesanan kepada pengundi supaya menjaga prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 demi keselamatan bersama.

Turut mencuri tumpuan adalah kehadiran bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang selesai mengundi di SK Sungai Manila, Sandakan bagi kerusi DUN Sungai Manila pada jam 11.04 pagi tadi.

Kehadiran penyandang kerusi DUN Sungai Sibuga itu diiringi sepasukan pengiring keselamatan dan selepas selesai mengundi, Musa sempat beramah mesra dengan pengundi yang teruja menemuinya di pusat mengundi tersebut.

Hari yang sibuk buat Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh apabila meninjau perjalanan proses pengundian di beberapa pusat pengundian antaranya SJK (C) Chung Hwa, dan SMK Sanzac Kota Kinabalu sejak pagi tadi.

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan turut menunaikan tanggungjawabnya sambil menunjukkan jari dicalit dakwat hitam selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran pada jam 11.35 pagi.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi DUN sejak 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.