Polis Sabah Minta Pengundi Keluar Undi Esok Tanpa Sebarang Keraguan

KOTA KINABALU, 25 Sept – Polis memberi jaminan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan berjalan lancar esok tanpa sebarang gangguan dan meminta orang ramai keluar mengundi tanpa sebarang keraguan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang membuat provokasi dan kekecohan dalam pilihan raya itu.

“Esok kita juga akan lakukan beberapa sekatan jalan raya untuk memastikan keselamatan sentiasa terjamin. Jadi jangan bimbang terhadap tahap keselamatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hazani juga meminta semua yang terlibat dalam PRN Sabah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan termasuk sentiasa menjaga jarak fizikal dan memakai pelitup muka susulan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, beliau berkata polis menerima 171 laporan berkaitan pelbagai kesalahan sejak kempen pilihan raya bermula 12 Sept lalu sehingga hari ini dengan sebanyak 52 kertas siasatan telah dibuka.

Beliau berkata polis juga menerima sebanyak 97 laporan berhubung kenyataan seorang calon dan bekas menteri yang mendakwa kononnya insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 satu sandiwara dan berkepentingan politik.

Sebanyak 61 laporan diterima di Sabah dan selebihnya di Semenanjung, katanya.

Esok, seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi manakala 14,935 orang telah mengundi secara pos untuk memilih calon bagi 73 kerusi DUN.

Sebelum ini, Hazani mendedahkan mendapat maklumat mengenai kemasukan secara besar-besaran rakyat asing bagi membuat kekacuan pada hari pengundian.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.