PKPDP Daerah Kota Setar Tamat Hari Ini – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (PKPDP) di Daerah Kota Setar, Kedah yang bermula pada 11 Sept lalu tamat pada hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun PKPDP secara bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak) dilanjutkan hingga 7 Okt ini kerana daerah itu berisiko tinggi penularan COVID-19.

“Seramai 94 penduduk di lokasi tersebut telah disaring dan sembilan daripadanya didapati positif COVID-19 yang melibatkan lima rumah.

“Pelanjutan tempoh ini diperlukan bagi membolehkan saringan kedua dilakukan Kementerian Kesihatan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat kawalan pergerakan di lokasi tersebut bagi memastikan semua penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan perintah kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Korok Lama di Alor Setar juga ditutup bermula esok hingga 9 Okt. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.