Pakej Rangsangan Ekonomi Dijangka Menyumbang 3.7-4.0 Peratus Kepada KDNK 2020 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Pakej-pakej rangsangan ekonomi termasuk Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN) bernilai RM10 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lepas, dijangka memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara bagi suku keempat 2020.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pakej-pakej yang diumumkan kerajaan iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN yang kesemuanya berjumlah RM305 bilion, dijangka menyumbang sebanyak 3.7 peratus hingga 4.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020.

Menurutnya, ini sekali gus akan meletakkan negara dalam kedudukan lebih baik bagi mencatat pemulihan ekonomi menjelang tahun 2021.

“Pertumbuhan positif ini dijangka dicapai hasil daripada peruntukan RM10 bilion yang akan diberikan secara terus kepada rakyat dan perniagaan.

“Kerajaan juga menyasarkan kesan berganda antara bantuan di bawah KITA PRIHATIN dengan pakej-pakej rangsangan lain yang masih dilaksanakan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan pakej rangsangan tambahan meliputi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM2.4 bilion dan Geran Khas Tambahan bernilai RM600 juta.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata Bantuan Prihatin Nasional 2.0 bukan sahaja mampu meringankan beban aliran tunai tetapi dapat membolehkan individu dan keluarga membeli barangan keperluan harian termasuk barangan promosi di bawah inisiatif PENJANA seperti kempen belian barangan Malaysia.

“Pada masa yang sama, bantuan Program Subsidi Upah 2.0 dan Geran Khas Prihatin akan membantu menjamin kelangsungan perniagaan dan pekerjaan yang turut memastikan aktiviti ekonomi dapat dijalankan manakala produktiviti ditingkatkan.

“Berdasarkan indikator-indikator pemulihan ekonomi yang dicatatkan baru-baru ini seperti penurunan kadar pengangguran, peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian, Indeks Pelopor dan juga sektor runcit dan rekreasi, kerajaan yakin KITA PRIHATIN akan mengekalkan momentum pemulihan,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, walaupun perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat berikutan pakej rangsangan tambahan tersebut, namun matlamat kerajaan tetap konsisten untuk mengutamakan kesejahteraan kehidupan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pengekalan pekerjaan.

Malah, pada masa sama, kerajaan tetap komited dalam memastikan disiplin fiskal dan Kementerian Kewangan turut memantau pelbagai indikator ekonomi di tahap domestik dan global dalam memastikan negara kekal di landasan pemulihan ekonomi yang tepat dan kukuh.

Jelas beliau, pakej KITA PRIHATIN misalnya merupakan hasil proaktif kerajaan terhadap pelbagai sesi libat urus, turun pandang dan konsultasi #JelajahBelanjawan2021 Kementerian Kewangan.

“Kerajaan mengambil maklum cabaran yang masih dihadapi oleh rakyat, perniagaan dan pihak berkepentingan yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19 dalam merangka pakej KITA PRIHATIN ini. Soalan-soalan lazim juga telah dimuatnaik ke laman sesawang Kementerian Kewangan mulai hari ini (25 Sept 2020).

“Bagi mendapatkan maklumat mengenai permohonan, kelayakan dan sebagainya, orang ramai boleh terus mengakses laman sesawang https://www.treasury.gov.my/index.php/kitaprihatin2020/,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan menerusi Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) akan terus memantau pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi dan menambah baik langkah-langkah sedia.

“Selanjutnya, langkah-langkah untuk memperkasakan semula ekonomi akan turut diperkenalkan ketika (pembentangan) Belanjawan 2021 pada 6 November ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.