PKPP: Jumlah Ingkar Arahan PKPP Turun Kepada Dua Angka

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Jumlah individu ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) didapati menurun kepada dua angka dengan penahanan 65 individu semalam, setelah mencatat tiga angka selama tiga hari berturut-turut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis menahan 35 orang atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, lapan berkaitan premis beroperasi tanpa kebenaran dan tujuh membabitkan penjarakan fizikal.

Beliau berkata tujuh penahanan lagi dibuat atas kesalahan keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (empat), masuk kawasan PKPD tanpa alasan munasabah (tiga) dan gagal membayar caj kuarantin (satu).

“Daripada jumlah itu, seramai 63 individu telah dikompaun manakala dua individu direman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 32 pendatang tanpa izin, empat penyeludup dan seorang tekong ditahan.

“Turut dirampas, sebuah bot dan tiga kenderaan darat. Sebanyak 91 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan Polis Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 32,963 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 67 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 8,240 orang sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan sehingga kini seramai 24,652 individu telah didiscaj dan dibenar pulang.

Ismail Sabri turut mengingatkan pengusaha dan orang ramai mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian dalam tempoh PKPP. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.