GPS Sangkal Khabar Angin Kononnya Sokong Anwar

KUCHING, 23 Sept – Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini menyangkal khabar angin yang mendakwa kononnya beberapa Ahli Parlimen telah menyertai Pakatan Harapan yang diketuai oleh ketua pembangkang dari Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata semua khabar angin mengenai Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang ditunjangi oleh PBB, melompat parti untuk menyertai Anwar adalah tidak berasas, dicetuskan semata-mata dengan niat mewujudkan ketidakstabilan dan keadaan tidak menentu dalam politik negara.

“GPS Sarawak kukuh seperti biasa, bersama dengan PN (Perikatan Nasional) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kami tidak mudah goyang atau dipaksa… lebih-lebih lagi oleh Anwar. Anwar perlu menghormati kita di Sarawak,” katanya.

Dalam pesanan WhatsApp kepada Bernama di sini, beliau berkata tiada nilai yang boleh ditawarkan oleh Anwar boleh mengubah sokongan parti-parti komponen terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin. Komponen lain dalam GPS termasuk Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demikratik (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Kita bersetuju untuk bersama dengan PN bagi mewujudkan kestabilan dalam politik Malaysia, dan tidak akan kembali mewujudkan ketidakstabilan kemudiannya,” kata beliau yang juga adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan Negeri.

Sementara itu Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dalam catatan Facebook beliau menulis GPS memilih untuk memberi lebih tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak, daripada bermain politik.

“Di Sarawak, kita memberi tumpuan kepada rakyat, semasa pihak lain lebih banyak bermain politik. Sejak awal pagi ini khabar angin bertiup kencang membawa maklumat palsu kononnya kerajaan PN PLUS telah tumbang,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu ketika ditemui dalam satu majlis rasmi kerajaan negeri di Serian, kira-kira 60km dari sini hari ini.

Sementara itu setiausaha agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata pakatan itu tidak ada sebarang hubungan dengan PKR yang dipimpin Anwar, dan ia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin.

“Selaku Setiausaha Agung GPS dan PBB, saya ingin mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menghentikan permainan politik tidak matang demi mencapai kepentingan dan cita-cita peribadi.

“Sebagai seorang ahli politik veteran dan berpengalaman, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya menghentikan sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan di dalam negara yang hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.