Melaka Catat Pelaburan Bernilai Lebih RM3 Bilion Dalam Sektor Pembuatan

MELAKA, 22 Sept – Melaka mencatatkan pelaburan bernilai lebih RM3 bilion dalam sektor pembuatan untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata nilai itu memberangsangkan berikutan situasi ekonomi semasa yang berada dalam fasa pemulihan selepas tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain sekatan perjalanan antarabangsa yang masih berkuat kuasa.

“Kita bersyukur kerana masih mampu mencapai angka tersebut walaupun keadaan ekonomi dunia yang mencabar berikutan COVID-19. Pelaburan dalam sektor ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan, terutamanya dalam produk elektronik dan elektrik (E&E) serta perniagaan sampingan.

“Kerajaan negeri akan terus mengatur strategi untuk menjana semula pertumbuhan ekonomi negara dan berharap dapat menarik lebih ramai pelabur asing dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Texas Instruments Electronics Malaysia Sdn Bhd (TIEM) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan TIEM Subbah Rao dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Melaka Haffizam Abu Seman.

Sulaiman berkata kerajaan negeri optimis untuk mencapai sasaran nilai pelaburan sebanyak RM5 bilion dalam sektor pembuatan pada tahun ini, walaupun berdepan dengan cabaran komunikasi yang terbatas dan kesukaran untuk bertemu dengan pihak pelabur.

Katanya lawatan ke syarikat pereka bentuk dan pengeluar semikonduktor dan pelbagai litar bersepadu itu bertujuan untuk berinteraksi secara langsung serta merapatkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dan pihak pengilang serta pelabur.

“Saya optimis Melaka akan terus menjadi pilihan utama syarikat untuk melabur di negeri ini berdasarkan kepimpinan kerajaan negeri yang bersifat mesra pelabur dan amat responsif dalam sebarang masalah yang dibangkitkan,” katanya, sambil menyatakan sektor pembuatan terus menjadi nadi pertumbuhan ekonomi negeri Melaka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.