Konkrit Hempap Kereta: DBKL Diminta Semak Peraturan Di Tapak Binaan

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Kementerian Wilayah Persekutuan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi berkaitan menyemak semula peraturan di tapak pembinaan bagi memperketatkan aspek keselamatan melibatkan orang ramai.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata ia susulan kejadian kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), terjatuh dan menghempap kereta yang sedang dipandu seorang wanita di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) , petang semalam.

Annuar berkata semakan semula itu termasuk membabitkan aspek kadar denda dan hukuman lebih berat bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Saya mahu DBKL dan agensi berwajib memperketatkan lagi aspek keselamatan di tapak pembinaan dan perkara berkaitan keselamatan orang awam.

“Semak semula peraturan termasuk kadar denda dan hukuman lebih berat,” katanya menerusi hantaran di Twitter rasminya, hari ini.

Semalam, media melaporkan insiden kepingan konkrit bersaiz satu meter persegi daripada kerja-kerja pembinaan SUKE, terjatuh menghempap kereta jenis Proton Saga BLM yang sedang dipandu seorang wanita di MRR2, dalam kejadian kira-kira 5.45 petang.

Bagaimanapun, mangsa berusia 25 tahun itu diselamatkan orang awam dan hanya cedera di tangan kirinya sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.