Calon BN DUN Balung Sudah Temui Lebih 50 Peratus Pengundi

TAWAU, 19 Sept – Veteran politik yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Hamild Awang berkata beliau sudah menemui lebih 50 peratus pengundi DUN berkenaan sepanjang kempen yang masuk hari kelapan hari ini.

Hamild, 65, yang memiliki pengalaman politik selama 40 tahun berkata maklum balas yang diterima daripada pengundi setakat ini adalah positif.

“Kita akan teruskan usaha mendekati pengundi sehingga dekat hari pengundian, kita percaya kita boleh mencapai matlamat 100 peratus berjumpa dengan pengundi,” katanya ketika ditemui di sini, sambil menambah memiliki pengalaman bekerja di bawah tiga bekas Ahli DUN Balung termasuk Allahyarham Datuk Abd Manan Jakasa dan Datuk Syed Abas Syed Ali.

Mengenai perancangannya untuk DUN Balung sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat pada 26 Sept ini, Hamild berkata beliau akan memberi keutamaan kepada pembangunan sosioekonomi rakyat di kawasan itu termasuk golongan belia.

“Kita melihat masih ramai pemuda, belia di DUN ini tidak memiliki pekerjaan dan susulan itu jika saya dipilih menjadi wakil rakyat, saya berusaha mewujudkan peluang pekerjaan termasuk memperbanyak usahawan muda,” katanya.

Beliau berkata DUN Balung memiliki banyak potensi niaga yang boleh dibangunkan termasuk sektor pelancongan.

“Jika menang, saya akan membawa perkara itu untuk dibincang bersama badan bukan kerajaan atau kementerian berkaitan bagi meningkatkan ekonomi penduduk di DUN ini,” katanya.

Selain itu, kata Hamild, beberapa fasiliti sukan juga akan dibina mengikut kesesuaian serta keperluan golongan muda Balung sebagai usaha membudayakan amalan sihat dalam kalangan belia agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.

Menurutnya, masalah kemudahan asas seperti jalan raya serta air akan terus diperjuangkan sehingga perkara asas itu dapat dinikmati penduduk dengan selesa tanpa perlu mengalami catuan bekalan air berpanjangan atau jalan raya rosak dibiarkan berpanjangan.

Kerusi DUN Balung menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Hamild, Andi Rus Diana Andi Paladjareng (Warisan), Labosa @ Ghazali Jakilan (USNO), Abu Bakar Jambuan @ Omar daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Ariffin Kassim Ibong daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), dan Cyril Aloysius (LDP) serta Abdul Hamid Damang (PCS). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.