Calon BN Lancar Manifesto Khusus Untuk Majukan DUN Elopura

SANDAKAN, 18 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura hari ini tampil dengan manifesto khusus bagi memajukan kawasan itu jika dipilih sebagai wakil rakyat oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini.

Dalam manifesto itu, Chan Boo Thian menggariskan tiga hasrat iaitu ekonomi tempatan, naik taraf kemudahan perubatan dan perkhidmatan awam sebagai fokus beliau untuk meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut.

“Jika saya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat di Elopura, saya akan mengukuhkan dan memperkasa pendapatan isi rumah di kawasan ini melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti dalam industri laut serta pemprosesan hasil pertanian dan untuk itu, saya akan menggesa kerajaan pusat memperuntuk dana pinjaman mikro bagi membantu pengusaha ini.

“Saya juga ingin memperkasakan lagi sektor pelancongan Elopura dengan mempertingkat fasiliti pelancongan dan melibatkan rakyat dalam merancakkan sektor ini,” katanya ketika melancarkan manifesto itu di sini hari ini.

Chan juga akan berusaha mendapatkan tambahan peruntukan bagi menaik taraf Hospital Duchess of Kent dan klinik kesihatan daripada Kerajaan Pusat untuk memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti dapat diberikan kepada rakyat di kawasan itu.

Beliau juga ingin memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan dengan merealisasikan penubuhan sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi memudahkan rakyat membuat pelbagai urusan berkaitan kerajaan di bawah satu bumbung.

“Secara keseluruhannya, saya merayu dan memohon kepada pengundi di DUN Elopura ini untuk memberi peluang kepada saya dan saya akan berkhidmat untuk rakyat serta menjaga kesejahteraan, kebajikan dan kemakmuran kawasan ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.