PRN Sabah: SPR Keluarkan Lebih 19 Ribu Kertas Undi Pos Mulai 14-16 Sept

KOTA KINABALU, 17 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 19,010 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bermula 14 hingga 16 Sept.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata daripada jumlah itu, 17,257 adalah undi petugas pilihan raya, 81 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara (PTH), 78 undi pos bagi warganegara Malaysia yang berada di luar negara serta 1,594 undi bagi anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“SPR juga telah menjemput pemerhati-pemerhati yang telah diantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos tersebut,” menurut Ikmalrudin dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata pengeluaran kertas undi pos bagi PRN Sabah ke-16 itu telah disiarkan secara ‘live streaming’ di Facebook SPR bagi tujuan meningkatkan kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

Sementara itu, Ikmalrudin turut mengingatkan semua pengundi pos supaya segera mengembalikan semula kertas undi mereka kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi pada 26 Sept.

Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di media sosial. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.