COVID-19: Malaysia Catat 21 Kes Baharu, Termasuk 16 Penularan Tempatan

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Dua puluh satu kes positif COVID-19 dicatatkan hari ini, membabitkan 16 kes penularan dalam negara dan lima kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 16 kes penularan dalam negara itu melibatkan 15 warga tempatan dan seorang bukan warganegara.

Mengulas mengenai itu, beliau berkata lima kes dilaporkan di Sabah, Kedah (tujuh), Pulau Pinang (dua), dan masing-masing satu kes di Selangor dan Sarawak.

“Di Sabah, dua kes daripada saringan Kluster Benteng LD melibatkan seorang warganegara dan seorang bukan warganegara, dan masing-masing satu warganegara untuk Kluster Selamat iaitu kluster baharu di Semporna, satu kes saringan kemasukan ke Hospital Tawau dan satu kes saringan ‘sign-off’ kapal di Pelabuhan Sipitang.

Sementara di Kedah, enam kes daripada Kluster Sungai yang (semuanya) melibatkan warganegara dan satu kes saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Daerah Kota Setar, juga warganegara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi penularan tempatan di Pulau Pinang pula, dua warganegara disahkan COVID-19 hasil daripada saringan kontak rapat kepada kes ke-9397 yang merupakan ahli keluarga tinggal serumah.

“Satu kes di Selangor yang melibatkan saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh dan di Sarawak, satu kes saringan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), masing-masing melibatkan warganegara,” katanya.

Beliau berkata bagi lima kes import, dua kes dilaporkan di Selangor selepas pulang dari New Zealand, manakala tiga kes dilapor di Sabah, yang mendapat jangkitan di India, Pakistan dan China.

“Ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 10,052 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 674,” katanya.

Beliau berkata 15 kes pulih daripada COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 9,250 kes atau 92 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilapor hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia kekal 128 atau 1.27 peratus daripada keseluruhan kes.

Beliau berkata sehingga kini, 13 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.