Calon BN Beri Komitmen Rancang Pembangunan, Landskap DUN Kukusan Lebih Baik

TAWAU, 16 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) Chaya Sulaiman memberi komitmen akan merancang pembangunan dan membawa landskap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan ke arah lebih baik jika diberi mandat menerajui kawasan itu pada Piihan Raya Negeri Sabah, 26 Sept ini.

“Saya nampak kawasan DUN Kukusan ini masih banyak perlu perancangan antaranya aspek kemudahan asas jalan raya dan perparitan selain mewujudkan keperluan beriadah seperti gelanggang futsal.

“Di samping masalah kampung-kampung yang tidak diwartakan meskipun sudah diduduki sekian lama, perkara itu memerlukan perancangan tersusun untuk menanganinya termasuk keperluan untuk membina Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya ketika ditemui di sini semasa mengadakan kempen rumah ke rumah bertemu pengundi di Kampung Sentosa.

Chaya berkata segala perancangan di DUN Kukusan bakal dinikmati semua pihak dan tiada golongan terpinggir sekiranya beliau, calon nombor 5, terpilih.

“Saya mahu menyelami hati dan perasaan rakyat, apa yang belum ada di kawasan ini saya akan fikirkan yang terbaik dan saya akan dapatkan pandangan kolektif daripada masyarakat DUN Kukusan sendiri,” katanya sambil menambah keperluan rakyat lebih penting dan perlu diutamakan.

Mengenai kempen bertemu pengundi, Chaya berkata beliau dan jentera kini dalam fasa susulan semula pengundi DUN Kukusan.

“Kawasan ini bukan asing dengan saya, saya Ketua Wanita Umno Bahagian Kalabakan dan saya ada hubungan akrab dengan akar umbi.

“Saya sentiasa turun padang sama ada untuk program kecil atau UMNO sendiri,” katanya.

Chaya, yang memiliki pengalaman politik selama 31 tahun, berharap mencatat sejarah sebagai wakil rakyat wanita pertama bagi DUN Kukusan.

Pada 26 Sept nanti, Chaya, 60, dicabar oleh Rina Jainal daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Ismail @ Taufik Muin (Parti Cinta Sabah), Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah), Ismail Idris (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) dan Rosdiansah Mohd Nor (Parti Perpaduan Rakyat Sabah). –BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.