Sebahagian Jalan Merdeka Dinamakan Jalan Tun Khalil Yaakob – MBMB

MELAKA, 9 Sept – Sebahagian Jalan Merdeka di sini, dinamakan Jalan Tun Khalil Yaakob bersempena memperingati jasa dan sumbangan besar dicurahkan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka yang keenam, menurut Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

MBMB dalam kenyataan hari ini, memaklumkan keputusan itu dibuat susulan Mohd Khalil banyak memberi cetusan idea bernas terutamanya di Tapak Warisan Dunia, bagi tujuan pemuliharaan dan pemugaran kawasan konservasi Bandaraya Melaka Bersejarah sepanjang khidmat beliau.

“Justeru itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 8 Julai lepas sebulat suara bersetuju menamakan semula sebahagian Jalan Merdeka kepada nama baharu, Jalan Tun Khalil Yaakob.

“MBMB telah memasang tiga unit papan tanda Jalan Tun Khalil Yaakob iaitu di sebelah bulatan Menara Jam Bangunan Merah, di hadapan Menara Taming Sari dan di hadapan pusat beli-belah Dataran Pahlawan,” menurut kenyataan itu.

Mohd Khalil yang berasal dari Kuantan, Pahang mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka pada 4 Jun 2004 dan khidmatnya tamat pada 4 Jun lepas. Jawatan itu kini disandang anak jati Melaka Tun Mohd Ali Rustam sejak 5 Jun lepas.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.