RM1.67 Bilion Diskaun Elektrik Telah Diberi Setakat 31 Ogos 2020

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Tenaga Nasional Bhd telah memberi diskaun ke atas bil elektrik berjumlah RM1.67 bilion kepada kira-kira 7 juta pengguna domestik sehingga 31 Ogos 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Daripada jumlah diskaun itu, sebanyak 83 peratus telah dimanfaatkan oleh pengguna domestik, katanya dalam laporan LAKSANA ke-20 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semua Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikeluarkan, hari ini.

Manakala bagi sektor komersial, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM181.7 juta diskaun bil elektrik yang meliputi 17 peratus daripada jumlah keseluruhan telah diberikan kepada 1.4 juta syarikat.

Sementara itu, bagi Skim i-Lestari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga 28 Ogos, jumlah pengeluaran kumulatif antara April sehingga Ogos 2020 berjumlah sebanyak RM7.54 bilion, berbanding RM7.48 bilion yang dikeluarkan setakat minggu lepas.

Pengeluaran tersebut melibatkan 4.59 juta penerima berbanding 4.57 juta penerima pada minggu lalu, katanya.

Tengku Zafrul juga berkata setakat 28 Ogos, sejumlah RM10.3 billion permohonan bagi dana pinjaman mudah perusahaan kecil sederhana (PKS) telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS.

Jumlah permohonan tersebut telah meningkat daripada RM10.2 billion yang dicatatkan minggu lalu, dan akan memberi manfaat kepada 22,440 PKS berbanding 22,322 PKS pada minggu sebelumnya.

Bagi pembiayaan skim PKS PENJANA, beliau berkata sebanyak 1,615 permohonan yang melibatkan RM426.2 juta jumlah dana telah disalurkan setakat 28 Ogos berbanding 1,172 permohonan (RM329.5 juta) di catatkan sehingga 21 Ogos.

Menteri Kewangan berkata pemberian tunai secara one-off (sekali) seperti Bantuan Prihatin Nasional, bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi, pemandu e-hailing dan teksi, pesara kerajaan, dan lain-lain telah melibatkan pembayaran sebanyak RM14.7 bilion setakat 28 Ogos.

“Tahap pencapaian pelaksanaan adalah pada kadar yang tinggi iaitu 94 peratus,” katanya.

Bagi inisiatif yang melibatkan pelaksanaan dalam jangka masa antara tiga hingga enam bulan seperti diskaun bil elektrik, subsidi upah (asal), moratorium, Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP KSWP) dan lain-lain pula melibatkan nilai sebanyak RM92.3 bilion.

Pelaksanaan inisiatif tersebut adalah pada tahap 73 peratus, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.