Prestasi Ekonomi Kian Pulih, Penguncupan KDNK Mengecil

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Indikator-indikator awal ekonomi pada Julai lepas menunjukkan keadaan ekonomi negara kini di fasa pemulihan yang lebih baik, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Menurutnya, antara indikator itu berbanding prestasi pada Jun 2020 adalah kenaikan kadar eksport 3.1 peratus dari tahun ke tahun, peningkatan jualan kereta penumpang 27.3 peratus dan jualan kenderaan perdagangan yang melonjak 44.8 peratus.

“Indikator lain adalah pergerakan penumpang domestik yang melonjak 215.8 peratus manakala jumlah kenderaan di lebuh raya bertol pula meningkat sebanyak 7.4 peratus,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Husain Awang (PAS) mengenai langkah strategik kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi negara serta meningkatkan kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang suku keempat tahun ini.

Mengulas selanjutnya, Mohd Shahar berkata jika dilihat secara terperinci, penguncupan KDNK juga telah mengecil daripada 28.6 peratus pada April kepada 19.5 peratus pada Mei dan seterusnya 3.2 peratus pada Jun lepas.

“Prestasi ini jelas menunjukkan berlakunya pemulihan ekonomi sejajar dengan pembukaan sektor ekonomi yang bermula pada Mei lepas. Proses pemulihan ini dijangka berterusan terutamanya dalam tempoh separuh kedua tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan unjuran prestasi separuh kedua 2020 yang lebih baik ini, Bank Negara Malaysia juga telah mengumumkan pertumbuhan ekonomi negara bagi keseluruhan tahun ini dijangkakan antara -5.5 peratus hingga -3.5 peratus.

Bagi tahun 2021, ekonomi dijangka berkembang sekitar 5.5 peratus hingga 8.0 peratus.

“Kerajaan akan terus memperkemas dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyokong perniagaan dan merancakkan ekonomi,” kata beliau. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.