DBP Hargai Tindakan Annuar Perkasa Bahasa Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Dewan Bahasa dan Pustaka mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa kerana menyuarakan ketidakpatuhan pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul dalam papan iklan.

Ketua Pengarah DBP Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, DBP turut berterima kasih terhadap penyataan Annuar mengenai perlunya papan iklan menggunakan bahasa Melayu yang betul.

Menurut Abang Salauddin, tindakan Annuar amat dihargai terutamanya dalam usaha kerajaan memperkasakan bahasa kebangsaan di negara ini.

“Semua pihak diseru agar mematuhi paparan iklan di tapak dengan paparan bahasa kebangsaan sebagai ungkapan utama dan bahasa lain sebagai ungkapan ringan sekiranya perlu.

“Sebarang ketidakakuran kepada Akta atau UUK boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan atau penalti yang termaktub di bawahnya,” kata Abang Salauddin dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Beliau berkata, Perkara 152 Perlembahaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perlu digunakan sebagai bahasa rasmi negara.

“Bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam semua maksud rasmu yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri, Badan-badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan,” kata Abang Salahuddin.

Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengeluarkan enam jenis iklan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan salah satu daripadanya ialah Lesen Iklan Paparan Luar.

Lesen Iklan Paparan luar tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-undang Kecil Iklan (WPKL) 1982 dan Undang-undang Kecil (UUK) Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihan Raya) (WPKL) 1990.

Sebelum ini Annuar berkata, sebuah papan iklan gergasi yang mengutamakan tulisan dan bahasa Cina telah diturunkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Annuar berkata, semua papan iklan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan perlu menggunakan bahasa kebangsaaan sebagai bahasa utama.

Jelas beliau, bahasa lain boleh digunakan namun perlu lebih kecil daripada tulisan bahasa kebangsaan.

“Semua papan iklan di Wilayah Persekutuan mesti mendaulatkan bahasa kebangsaan. Bahasa jiwa bangsa.

“Bahasa lain boleh digunakan tetapi hendaklah lebih kecil dari tulisan dalam bahasa kebangsaan. Tatabahasa hendaklah seperti diluluskan DBP. PBT meluluskan permit tempat mengikut syarat syarat tertentu,” jelas Annuar. – WilayahKu

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.