Masih Ramai Tidak Mengamalkan Penjarakan Fizikal – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Tidak mengamalkan penjarakan fizikal antara kesalahan yang masih banyak dilakukan orang ramai walaupun ia antara prosedur operasi standard diwajibkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKPP, seramai 26 individu ditahan atas kesalahan itu semalam.

“Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (24), tidak memakai pelitup muka (20), lari dari pusat kuarantin (satu) serta premis beroperasi lebih masa (satu).

“Daripada jumlah itu 70 individu dikompaun, seorang direman dan seorang dijamin,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng melakukan 14 tangkapan melibatkan 25 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup.

Bagi kuarantin wajib sejak 24 Julai sehingga semalam, beliau berkata 24,961 individu dari 32 negara telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 67 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu, seramai 9,887 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 15,008 lagi individu telah discaj dan dibenarkan pulang.

Sejak 30 Mac, sebanyak 9,874 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon dilaksanakan melibatkan 12,970 premis terdiri daripada 2,708 pusat perniagaan, 5,706 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya, katanya.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.