Lebih Dua Juta Peminjam Telah Dihubungi Bank Bagi Bantuan Pembayaran Balik

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Lebih dua juta peminjam telah dihubungi bank untuk ditawarkan bantuan pembayaran balik setakat 28 Ogos 2020, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, institusi perbankan telah berbincang dengan 1.1 juta peminjam yang telah memberi maklum balas dan hampir 300,000 peminjam telah mengesahkan yang mereka betul-betul memerlukan bantuan pembayaran balik, manakala selebihnya sedang mempertimbangkan opsyen bantuan yang disediakan.

“Angka ini dijangka akan terus meningkat dengan ketara apabila peminjam boleh memohon dengan mudah melalui pelbagai saluran yang telah disediakan,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris (BERSATU) yang ingin tahu mengenai jumlah kelompok bersasar termasuk kumpulan yang tiada pekerjaan kerana terjejas akibat COVID-19 yang menikmati lanjutan moratorium pinjaman.

Katanya daripada permohonan bantuan pembayaran balik pinjaman yang lengkap diterima dan diproses, sebanyak 97 peratus telah diluluskan.

“Proses permohonan bagi pelanggan individu dijangka mengambil masa antara satu hingga lima hari manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka mengambil masa antara tiga hari hingga dua minggu selepas permohonan lengkap diterima bank,” katanya.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.