‘Radu Tatap Radu’ Semarakkan Semangat Jentera Puteri UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 7 Sept – Laungan ‘Radu Tatap Radu’ menyemarakkan semangat perjuangan Pergerakan Puteri UMNO Sabah yang telah bersedia bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Laungan semangat tersebut telah diungkap dalam majlis Pelancaran Jentera Puteri UMNO Pilihan Raya Negeri Sabah yang disempurnakan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, hari ini.

Ketua Puteri UMNO Sabah, Dr Fadilah Sardi memaklumkan bahawa pergerakan tersebut walaupun dalam satu-satu masa terlihat mustahil untuk meneruskan perjuangan namun ternyata pergerakan tersebut terus mendapat sokongan.

“Puteri UMNO Sabah masih tetap bersatu bersetia dan dapat sokongan dari semua bahagian walaupun ia adalah satu entiti kecil tapi ‘Radu Tatap Radu’,” katanya dalam ucapan dalam majlis tersebut.

Ujarnya, selepas tragedi pada Jun 2018 dan kemudiannya pada Disember tahun terbabit, agak mustahil untuk melihat perjuangan UMNO diteruskan.

“Namun begitu, Puteri UMNO tetap ada, ketua-ketuanya juga masih tetap bersemangat walaupun ada yang berganti, ada juga yang berehat tapi diganti dengan rakan-rakan UMNO yang lebih bersedia dan mahu maju ke hadapan atas nama UMNO,” katanya.

Lantaran itu juga, beliau memaklumkan bahawa Puteri UMNO di setiap bahagian meneruskan gerak kerja dan mengadakan kursus termasuklah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi berdepan pilihan raya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yaakub Khan bersama barisan kepimpinan UMNO Sabah dan ketua-ketua jentera Puteri seluruh negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.