Langgar PKPP: Aktiviti Pub, Kelab Malam Kesalahan Tertinggi Dicatatkan Semalam

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam antara kesalahan tertinggi direkodkan semalam melibatkan 580 individu disusuli kesalahan tidak mengamalkan penjarakan fizikal 118 individu.

Kesalahan lain yang turut dilakukan termasuk tidak memakai pelitup muka (52), premis beroperasi lebih masa (52), pendatang tanpa izin (39), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (22), disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran (tujuh), melanggar perintah kuarantin (dua) serta menghalang penjawat awam bertugas (satu).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 873 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, 797 individu dikompaun, 71 direman manakala lima individu dijamin.

“Sementara itu, Operasi Benteng telah melakukan 14 tangkapan melibatkan 30 pendatang tanpa izin dan empat penyeludup. Operasi turut membuat rampasan melibatkan 12 kenderaan darat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kuarantin wajib sejak 24 Julai sehingga semalam, Ismail Sabri berkata 24,781 individu dari 32 negara telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 67 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,842 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 14,873 lagi individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Sejak 30 Mac, sebanyak 9,865 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon dilaksanakan melibatkan 12,969 premis terdiri daripada 2,707 pusat perniagaan, 5,706 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.