Melaka Tumpu Usaha Pelihara Produk Warisan – Sulaiman

MELAKA, 6 Sept – Melaka akan terus menumpukan usaha memelihara dan memulihara produk-produk pelancongan terutama yang mempunyai nilai warisan sejarah supaya ia dapat menjadi tatapan generasi akan datang.

Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia penting bagi memastikan peninggalan warisan negeri tidak terbiar dan mengalami kerosakan yang menyebabkannya luput ditelan zaman.

Beliau berkata ia termasuk usaha membaik pulih Perigi Hang Tuah di Duyong menerusi peruntukan di bawah Jabatan Warisan Negara sebanyak RM50,000.

“Justeru, kita berharap pemimpin kawasan yang diberikan tanggungjawab disaran untuk selalu turun padang bagi mengenal pasti sekiranya terdapat permasalahan supaya tindakan segera dapat diambil.

“Sebagai contoh di sini (Duyong) banyak tempat-tempat menarik yang boleh dijadikan produk pelancongan, jika perkara seumpama itu dimaklumkan kepada pihak saya, ia boleh dimajukan seperti Perigi Hang Tuah ini kerana ada peruntukan untuk membaiki struktur perigi itu,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di sini, hari ini.

Sulaiman berkata program turun padang ke kawasan DUN di negeri ini, membolehkan pihaknya dapat mendengar terus permasalahan yang dihadapi masyarakat supaya ia dapat diajukan terus kepada jabatan dan agensi berkaitan untuk diselesaikan.

Katanya selain permasalahan rakyat, beliau turut mendapat makluman daripada pemain industri pelancongan mengenai potensi sesuatu kawasan setiap kali turun padang.

Terdahulu, Sulaiman turut meluangkan masa melawat ladang lembu milik usahawan muda, Mohd Safid Affendi Shamsudin di Solok Bukit Baru, Semabok di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan usahawan muda supaya menceburi bidang penternakan yang mampu menjana pendapatan lumayan dan memanfaatkan pelbagai jenis bantuan dalam bidang berkenaan yang disediakan kerajaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.