Aspirasi Rakyat Dijadikan Asas Bangunkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara – Halimah

KOTA BHARU, 6 Sept – Kementerian Perpaduan Negara akan mengambil kira kehendak dan aspirasi rakyat keseluruhan untuk dijadikan asas membangunkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025.

Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata sejak diadakan sesi maklum balas rakyat di seluruh negara berhubung draf pelan tersebut, seramai 20,000 orang telah memberikan maklum balas masing-masing.

“Kita telah melaksanakan sesi maklum balas ini di setiap negeri yang akan turun sehingga ke peringkat akar umbi dan kita memerlukan seramai mungkin untuk memberikan maklum balas ini.

“Kesemua maklum balas inilah yang akan dimasukkan dalam rangka pelan yang akan dilancarkan pada penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sesi Maklum Balas PTPN Peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang turut dihadiri Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail.

Halimah berkata kementeriannya juga akan bekerjasama dengan UMK dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membuat kajian ilmiah untuk membantu kementerian merangka pendekatan program dan sebagainya.

“UKM melalui Institut Kajian Etnik akan bersama kementerian untuk membangunkan pelan ini nanti. Intipati pelan berdasarkan kepada prinsip Rukun Negara,” katanya.

Halimah juga menasihatkan pemimpin politik agar berperanan dalam memupuk perpaduan kaum di negara ini dan bukannya hanya rakyat yang bersungguh-sungguh mahukan seluruh rakyat bersatu padu.

“Secara keseluruhan perpaduan kaum di negara ini sangat baik tetapi juga peranan pemimpin politik penting dalam memupuk perpaduan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata perpaduan kaum jelas boleh dilihat di Kelantan yang menggunakan satu dialek untuk berkomunikasi.

“Di Kelantan ada mereka yang berbangsa Cina dipanggil dengan nama seperti Ali, Rashid dan banyak lagi dan faktor penting perpaduan ini adalah kerana menggunakan satu dialek bahasa,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.