‘Take 5’ Pupuk Pemahaman Rukun Negara Kanak-Kanak Tadika Perpaduan – Halimah Sadique

MACHANG, 5 Sept – Seramai 38,000 kanak-kanak Tabika dan Taska Genius Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) akan menjalani rutin norma baharu menerusi Program ‘Take 5’ yang akan bermula esok, di seluruh negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata program menambah nilai dalam silibus pendidikan sedia ada di peringkat prasekolah itu melibatkan 1,781 Tabika Perpaduan dan 41 taska genius di bawah JPNIN.

“Take 5 ini adalah pengisian pembelajaran yang diwajibkan terhadap kanak-kanak perpaduan dan sebaik sahaja mereka tiba di sekolah, mereka perlu menyanyikan lagu ‘Negaraku’ dan membacakan ikrar Lima Prinsip Rukun Negara.

“Ia penting kerana kita mahu anak-anak ini memahami lirik lagu Negaraku manakala guru berperanan memberikan penjelasan, memupuk penghayatan mengenai prinsip dan objektif ikrar Rukun Negara sejak dari peringkat kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Norma Baharu “Take 5” di Tabika dan Taska Genius JPNIN di Dewan Keusahawanan Kompleks Perpaduan Daerah Machang di sini hari ini.

Halimah berkata bagi pemantapan program berkenaan, kementerian turut bekerjasama dengan tiga kementerian lain iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Take 5 ini perlu menjadi amalan wajib dan penggunaan maskot animasi ‘Boboiboy’ dengan watak Papa Zola dan Pipi Zola membolehkan kanak-kanak senang tertarik untuk menghafal lagu ‘Ayuh Cuci Tangan’.

“Lagu ini melatih kanak-kanak mencuci tangan dengan cara yang betul menggunakan sabun untuk mencegah penyakit COVID-19, selain aktiviti riadah untuk kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata inisiatif berkenaan merupakan program usaha sama bijak bagi menambah nilai dalam subjek sedia ada termasuk aktiviti ko-kurikulum kanak-kanak prasekolah.

“Penghayatan prinsip Rukun Negara ini bukan hanya sekadar ada pada kulit belakang buku sekolah, sebaliknya kita mahu objektifnya dihayati setiap kanak-kanak,” katanya menambah penggunaan animasi kartun akan menambah keterujaan murid tadika menghayati prinsip Rukun Negara.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.