Program Penjana KPT Fokus Kebolehpasaran Siswazah, Tangani Isu Pengangguran

TAWAU, 5 Sept – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membantu meningkatkan kebolehpasaran siswazah dan menangani masalah pengangguran melalui peruntukan dana sebanyak RM100 juta di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata program yang akan dilaksanakan ialah ‘Place and Train’ (skim latihan dan penempatan), gig ekonomi dan keusahawanan bagi mempertingkat dan menjamin peluang pekerjaan kepada siswazah terlibat.

“KPT juga akan menjalinkan kerjasama dengan kementerian lain dan pihak industri agar dapat memberi komitmen mengambil siswazah bekerja di syarikat mereka,” katanya.

Noraini berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian UMS-Medical Specialist Community Outreach Team (UMS-MedSCOT) anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihak industri yang bekerjasama dengan KPT perlu menandatangani surat ikat janji sebagai komitmen menggaji para siswazah.

Noraini berkata, program (PENJANA) di bawah KPT itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 28 Sept ini.

“Justeru, siswazah yang baru tamat pengajian mahupun yang masih menganggur digalakkan memohon untuk mengikuti program berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Noraini memuji inisiatif dan penganjuran program UMS-MedSCOT yang menyediakan perkhidmatan kesihatan pakar perubatan kepada komuniti di luar bandar yang dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

“Saya meletakkan harapan tinggi agar UMS-MedSCOT ini akan berterusan dalam memberikan perkhidmatan menjangkau komuniti kepada rakyat Sabah,” katanya menambah usaha tersebut juga selari dengan persiapan tenaga pengajar universiti untuk berkhidmat di Hospital UMS yang bernilai RM600 juta, di Kota Kinabalu yang bakal beroperasi pada 2022. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.