COVID-19: Malaysia Catat 6 Kes Baharu Termasuk 2 Penularan Tempatan

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Kes positif COVID-19 hari ini kembali mencatatkan satu angka dengan enam kes baharu yang merangkumi dua kes penularan dalam negara dan empat kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes penularan dalam negara itu melibatkan warga tempatan iaitu masing-masing penambahan satu kes baharu daripada Kluster Telaga dan kes ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata empat kes import pula dilaporkan di Wilayah Persekutuan yang masing-masing mendapat jangkitan di Pakistan, Angola, India dan Bangladesh, melibatkan dua warga tempatan dan dua rakyat asing.

“Ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,391 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 150 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Katanya, terdapat 21 kes pulih daripada COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 9,113 kes atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat lima kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 128 atau 1.36 peratus daripada keseluruhan kes.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Telaga, beliau berkata pertambahan satu kes baharu di Kedah itu merupakan kontak rapat kepada kes ke-9284 di Hospital Sultanah Bahiyah, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 dalam kluster tersebut sebanyak sembilan kes.

“Beliau didapati positif COVID-19 semasa saringan yang dijalankan pada 3 Sept,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 3,458 individu telah disaring dalam kluster tersebut yang mana 2,744 individu didapati negatif, manakala 705 pula masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan,” katanya.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.