Rakyat Malaysia Kini Pilih Digital, Penggunaan Tunai Berkurang Sejak COVID-19

CYBERJAYA, 3 Sept – Pengguna Malaysia kini lebih memilih platform digital, terbukti dengan peningkatan pembayaran secara digital, e-dagang dan kecenderungan melakukan aktiviti secara dalam talian, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Memetik hasil Kajian Impak Mastercard, beliau berkata penggunaan tunai oleh rakyat Malaysia telah berkurang sebanyak 64% sejak bermulanya pandemik COVID-19.

Berhubung kaedah pembayaran susulan pandemik itu, kajian itu menunjukkan kira-kira 40% pengguna Malaysia melaporkan peningkatan penggunaan dompet mudah alih/digital, diikuti kad debit tanpa sentuh pada 26% dan kad kredit tanpa sentuh pada 22%, katanya.

“Hasil kajian itu juga menunjukkan Malaysia mendahului dari segi penggunaan dompet mudah alih/e-dompet di Asia Tenggara, mengatasi Filipina, Thailand dan Singapura.

“Ini mendorong kami untuk menjadi lebih digital dalam pendekatan kami,” katanya dalam ucapan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Mastercard untuk memacu pembayaran secara digital, semalam.

Menurut MDEC-Mastercard dalam kenyataan bersama pada acara itu, penyelidikan dijalankan oleh Mastercard menunjukkan terdapat peningkatan dalam penggunaan dan keperluan pembayaran tanpa tunai di Malaysia pada Mac dan April tahun ini.

“Malaysia melaporkan penggunaan pembayaran tanpa tunai lebih tinggi daripada pasaran lain di Asia Tenggara yang dikaji selidik.

“Sebagai contoh, pada April, lebih 18% responden Malaysia menyatakan mereka meningkatkan penggunaan pembayaran tanpa tunai.

“Bagi tempoh yang sama, angka di Thailand adalah 15%, di Singapura 15.75% dan di Filipina 16.9%,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.