Kerajaan Cadang Bentang RUU 505 Pada Sidang Parlimen Nov Ini

PUTRAJAYA, 3 Sept – Kerajaan bercadang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2018 (RUU 505) pada sesi Parlimen, November ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata antara pindaan RUU 505 itu melibatkan tadbir urus agensi agama di Wilayah Persekutuan, memperkukuh tadbir urus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, isu berkaitan mahkamah syariah, isu berkaitan tadbir urus pejabat mufti Wilayah Persekutuan termasuk kaedah pengeluaran fatwa.

“Ia (pindaan RUU 505) akan ditambah baik dari pelbagai segi dan ia akan diperhalusi,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada 10 Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil bagi tempoh tiga tahun yang berkuat kuasa dari 16 Ogos lepas hingga 15 Ogos 2023, di sini semalam.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dilantik sebagai pengerusi ahli jawatankuasa tersebut.

Zulkifli berkata ahli jawatankuasa yang baru dilantik itu akan membincangkan dengan lebih mendalam berkenaan pindaan di bawah RUU 505 dalam mesyuarat yang berlangsung selama lima hari, bermula hari ini sebelum dibentangkan di Parlimen.

Dalam ucapannya, Zulkifli berkata selain RUU 505 yang akan dibincangkan, mesyuarat jawatankuasa teknikal kali ini akan turut membincangkan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

“Walaupun terdapat 10 negeri lain yang telah menggubal undang-undang yang sama bagi negeri masing-masing, namun terdapat halangan dari segi penguatkuasaan undang-undang tersebut,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.