Semua Ketibaan Dari Luar Negara Di Sarawak Perlu Jalani Kuarantin Wajib 14 Hari – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Semua ketibaan dari luar negara di pintu masuk Sarawak diwajibkan melalui tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan oleh kerajaan negeri berkenaan, berkuat kuasa semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang terlibat juga perlu menjalani ujian saringan pada hari kedua dan hari kesepuluh.

“Kos kuarantin bagi rakyat Sarawak akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri manakala bagi bukan rakyat Sarawak, kos kuarantin adalah atas tanggungan sendiri,” katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Bagi warga Malaysia yang tiba di pintu masuk Sarawak, mereka dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin wajib, namun mereka perlu mengisi borang deklarasi kesihatan secara dalam talian (e-HDF) terlebih dahulu yang boleh dimuat turun di laman sesawang https://sarawakdisastermc.com/.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas hingga semalam seramai 21,217 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Kesemua mereka telah ditempatkan di 70 Hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Jelasnya daripada jumlah itu, seramai 8,801 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan,dan 12,350 individu telah dibenarkan pulang.

Mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Mengenai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 39 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Daripada jumlah itu seramai 27 individu telah dikompaun manakala tujuh individu pula direman dan lima orang dijamin.

“Antara kesalahan termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (enam), tidak memakai pelitup muka (13), premis beroperasi lebih masa (lima), menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah (lima), serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (10).

Menyentuh mengenai Operasi Benteng, beliau berkata PDRM mengadakan 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 27,379 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.