Pelan Pembangunan Pelancongan Johor 10 Tahun Akan Ditambah Baik

JOHOR BAHRU, 2 Sept – Kerajaan negeri akan menambah baik pelan pembangunan pelancongan negeri dalam tempoh 10 tahun, termasuk pelancongan di pulau-pulau di Johor bagi merancakkan lagi sektor berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setiap daerah di negeri Johor mempunyai tarikan pelancongannya tersendiri, dan salah satu tarikan termasuk pulau-pulau yang indah yang terletak di daerah Mersing.

Katanya perancangan berkenaan dijangka dimulakan dan dilancarkan tahun hadapan bagi menetapkan hala tuju sektor pelancongan negeri.

“Sebenarnya kita di Johor ini telah mempunyai perancangan pelancongan sebelum ini dan kita akan teruskannya dengan penambahbaikan untuk jangka masa panjang agar pelancong yang datang ke negeri ini mempunyai rujukan untuk ke tempat-tempat menarik di sini.

“Perancangan jangka panjang ini juga merangkumi keseluruhan daerah di negeri Johor dan mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat untuk membangun produk pelancongan sedia ada serta yang berpotensi untuk dibangunkan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelepasan rombongan Famtrip Majestic Johor bersama media yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Tourism Johor Afzan Azhari dan Presiden Kelab Media Johor Mohd Fauzi Ishak di Wisma Pelancongan Johor (JOTIC), di sini.

Onn Hafiz berkata program Famtrip Majestic Johor bertujuan mempromosikan pulau-pulau terutamanya di daerah Mersing, yang mempunyai 93 buah pulau, dan menurutnya rombongan 23 orang pengamal media itu akan dibawa melawat beberapa pulau di Mersing, bermula hari ini sehingga Jumaat.

“Antara pulau-pulau yang akan dilawati ialah Pulau Aur, Pulau Dayang, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Rawa, Pulau Harimau dan beberapa lagi pulau lain yang masing-masing mempunyai tarikannya tersendiri.

Selain itu, pihak media juga akan dibawa melawat kawasan tarikan pelancong di daerah Kota Tinggi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.