KETSA Bangunkan Mekanisme Kewangan Bagi Sektor Perhutanan

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Kerangka Kewangan Pengurangan Pelepasan Gas daripada Pemusnahan dan Degradasi Hutan (REDD) Plus Finance Framework-RFF akan dibangunkan bagi meningkatkan kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan negeri dalam menyalurkan dana kepada aktiviti pemeliharaan dan pengurusan hutan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata ia merupakan satu mekanisme kewangan bagi sektor perhutanan untuk menangani perubahan iklim di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

“Pelaksanaan RFF ini akan memberikan nilai kewangan kepada sumber-sumber hutan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

RFF akan mempunyai dua komponen iaitu Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) yang memberi nilai kewangan kepada perkhidmatan yang dibekalkan hutan selain nilai kayu kayan serta komponen Pengurangan Karbon Penyerapan Karbon oleh Hutan (FCO) yang memberi nilai kewangan kepada keupayaan penyerapan karbon oleh hutan melalui penghasilan kredit karbon.

Shamsul Anuar berkata sijil tersebut akan dikeluarkan berdasarkan keperluan antarabangsa yang ditetapkan UNFCCC dan boleh digunakan oleh pihak swasta dalam meningkatkan elemen kelestarian dan pengurangan jejak pelepasan karbon dalam produk perkhidmatan masing-masing.

Kementerian juga katanya sedang mengadakan sesi konsultasi dengan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan secara berterusan dan RFF akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara akan datang.

Beliau turut berharap usaha itu akan meningkatkan kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta swasta bagi memastikan sumber hutan dapat dinikmati oleh generasi akan datang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.