PDRM Tahan 79 Individu Ingkar Arahan PKPP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Meskipun sudah 81 hari negara berada di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masih ada individu yang melanggar arahan itu dengan 79 orang ditahan atas kesalahan tersebut semalam.

Dalam kenyataannya mengenai perkembangan PKPP hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 51 dikompaun manakala 28 lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam, gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa, private party serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 19,218 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam dan mereka telah ditempatkan di 70 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

Daripada jumlah itu, seramai 8,464 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 56 lagi telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 10,698 individu didiscaj serta dibenarkan pulang, katanya.

“Mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Polis Diraja Malaysia telah mengadakan 64 sekatan jalan raya Operasi Benteng dan memeriksa 30,120 kenderaan semalam bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin khususnya di lorong-lorong tikus.

Mengenai operasi sanitasi awam pula, Ismail Sabri berkata sebanyak 11 operasi telah diadakan di tujuh negeri semalam iaitu Melaka, Sabah, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur melibatkan 83 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan 135 anggota daripada agensi lain.

Dalam pada itu, beliau berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 690 premis perniagaan termasuk peruncit (504), pemborong (157) dan pengilang (29).

Menurutnya, KPDNHEP turut melakukan 1,024 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,007 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 17 premis diberi nasihat.

Ismail Sabri berkata secara keseluruhannya bekalan barangan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara serta mudah diperoleh. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.