Pendidikan Rukun Negara Perlu Diterap Seawal Peringkat Tadika – Halimah

PUTRAJAYA, 28 Ogos – Pendidikan Rukun Negara perlu dimasukkan ke dalam sistem pendidikan negara seawal peringkat pendidikan awal kanak-kanak di tadika dan diteruskan sehingga ke peringkat sekolah rendah dan menengah, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Kita tak nak Rukun Negara sekadar dinyatakan di buku-buku latihan tetapi tidak ada penghayatan dan tidak ada amalannya, jadi kita nak masukkan balik dalam sistem pendidikan negara,” katanya kepada media selepas majlis kibarkan bendera sempena Bulan Kebangsaan, di sini hari ini.

Halimah berkata perkara itu sedang dibincangkan antara Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurutnya, satu jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPN Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi telah diwujudkan dan dianggotai oleh ketua setiausaha daripada KKMM, KPT dan KPM.

Dalam perkembangan lain, Halimah berkata penilaian penglibatan 8,274 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam komuniti setempat akan dimantapkan dengan melaksanakan penarafan bintang pada tahun hadapan.

“Sebelum ini kalau kita buat penilaian KRT, ia berdasarkan berapa banyak program yang dibuat dan seberapa aktif KRT bersama anggota komuniti.

“Tapi untuk tahun hadapan kita nak lebih mantap lagi, kita nak tambah baik penilaian yang akan mengambil kira perkara-perkara lain termasuk pengurusan KRT itu sendiri, pentadbiran, pengurusan kewangan dan kerjasama strategik yang diadakan bersama agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan,” katanya.

Pada majlis hari ini, Halimah menyerahkan replika cek geran RM5,000 kepada 30 KRT untuk menjahit peralatan PPE bagi petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.