COVID-19: Kes Kembali Dua Angka Dengan 10 Kes – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kes positif COVID-19 hari ini kembali mencatat dua angka dengan 10 kes iaitu lapan kes import dan dua kes penularan dalam negara berbanding lima kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan sseorang warganegara dan tujuh bukan warganegara iaitu dari India dan Filipina.

“Daripada dua kes penularan dalam negara, satu kes melibatkan warganegara yang dikesan di Kedah daripada saringan bergejala, manakala kes bukan warganegara dikesan di Selangor iaitu kes saringan tahanan pendatang asing tanpa izin di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 9,306 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 151 kes.

Katanya selain itu terdapat 36 kes yang telah pulih dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,030 kes atau 97.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.