ASNB Umum Agihan Pendapatan Sebanyak RM907.3 Juta Untuk ASM 2 Wawasan

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan berjumlah RM907.3 juta untuk unit amanah harga tetap Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan (ASM 2 Wawasan) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata pengagihan pendapatan tersebut akan memanfaatkan 890,038 pemegang unit dengan pegangan 22.6 bilion unit.

“Di sebalik prestasi pasaran saham yang sangat mencabar dipengaruhi oleh pandemik COVID-19, pulangan 4.0 sen seunit ini kekal kompetitif dan mengatasi penanda aras pulangan purata Deposit Tetap 12-bulan Maybank pada kadar 2.61 peratus sebanyak 139 mata asas bagi tahun kewangan semasa setakat 26 Ogos 2020.

“ASM 2 Wawasan telah mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM802.3 juta untuk 11 bulan pertama tahun kewangannya pada 31 Julai 2020,” katanya.

PNB berkata dana ini menjana jumlah pendapatan kasar direalisasi sebanyak RM1.04 bilion, dengan keuntungan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat tersenarai dan tidak tersenarai berjumlah RM579.4 juta atau 55 peratus daripada jumlah pendapatan kasar direalisasi.

Pendapatan daripada jualan saham menyumbang RM281.1 juta atau 27 peratus, dengan baki RM183.2 juta atau 18 peratus adalah daripada pelaburan dalam sukuk, deposit tetap Islamik dan instrumen berpendapatan tetap lain serta lain-lain pendapatan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.