88 Individu Ditahan Kerana Ingkar Arahan PKPP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Seramai 88 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah itu, seramai 84 individu telah dikompaun manakala empat lagi direman, katanya.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP yang termasuk gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk sebanyak 31 kes, tidak memakai pelitup muka (15 kes), dan private party (32 kes),” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan PKPP hari ini.

Dalam tempoh yang sama, beliau berkata sebanyak 64,658 pemeriksaan dilakukan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Selain itu polis juga telah mengadakan 434 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua individu terbabit didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurut Ismail Sabri, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 18,401 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah ditempatkan di 68 hotel dan enam Institut Latihan Awam (ILA).

Daripada jumlah itu, seramai 7,965 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 56 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala seramai 10,380 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang, katanya.

Beliau berkata sebanyak 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng turut diadakan di seluruh negara semalam dan 25,503 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

Tiada tangkapan dilakukan, katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.