PRK Slim: SPR Seru Pengundi Patuh SOP Sabtu Ini

TANJUNG MALIM, 27 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru kesemua 22,749 pengundi biasa yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Sabtu ini.

Pada masa sama, meminta agar semua yang terlibat pada hari tersebut tidak mengabaikan undang-undang, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 semasa hari pengundian.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau mengetahui maklumat pengundian boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung.

Beliau juga meminta supaya pengundi keluar mengundi mengikut ‘masa mengundi yang digalakkan’ seperti tertera pada Kad Pengundi, dan tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat-saat akhir walaupun waktu mengundi ditetapkan dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Cadangan masa ini bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah ramai dan setersunya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi. Ini selaras dengan prosedur kawalan penyebaran COVID-19.

“Bagi pengundi yang tidak menerima Kad Pengundi kerana kemungkinan berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Ikmalrudin berkata semakan boleh dibuat antaranya melalui portal semakan daftar pemilih, aplikasi MySPR Semak atau menghubungi talian 03-8892 7018.

Beliau turut menasihati pengundi supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak selain daripada petugas pilihan raya.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang dicalonkan oleh Parti Pejuang Tanah Air yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Sejumlah 96.25 peratus daripada 267 pengundi awal telah menunaikan hak mereka pada Selasa lalu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.