PKPD Pentadbiran Di Aman Jaya, Kedah Bermula Tengah Malam Ini – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah bermula tengah malam ini sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan 22,360 isi rumah (265 rumah) di tiga zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melur dan mereka akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata penduduk di zon itu tidak dibenarkan keluar dari zon tersebut manakala orang luar juga tidak dibenarkan memasuki zon berkenaan dan sekatan jalan raya akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal jalan keluar masuk kawasan itu.

“Individu yang perlu bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran, dan mereka yang dari luar juga tidak dibenarkan datang bekerja di kawasan PKPD,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri turut memberi peringatan kepada para majikan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pekerja terlibat yang tidak hadir bekerja memandangkan ia adalah perintah oleh kerajaan, dan menyarankan majikan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.