Cadangan Luaskan Lawasan ESSCom Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Cadangan untuk meluas atau melanjutkan perintah berkurung di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) ke laut terbuka, antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran), memandangkan kes penculikan kru bot di negeri berkenaan telah beralih ke laut terbuka.

Dalam sesi sama, Wong Shu Qi (PH-Kluang) minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah pemohon yang telah berjaya menebus e-Tunai RM50 sehingga 30 Jun 2020.

Selain itu, Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) meminta Perdana Menteri menyatakan kedudukan penstrukturan semula Syarikat Lebuhraya Utara Selatan, sama ada perjanjian penstrukturan telah dimuktamadkan.

Pua juga ingin tahu anggaran penjimatan yang akan dinikmati oleh pengguna lebuh raya dan pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan setiap tahun sehingga tamat konsesi.

Usai sesi itu, Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020 akan dibentang untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan oleh Ahli Parlimen, sebelum diputuskan sama ada diluluskan atau tidak.

Persidangan Dewan Rakyat penggal ketiga kali ini, berlangsung selama 25 hari sejak 13 Julai lalu dan dijadual berakhir hari ini, berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.