5,838 Permohonan Diluluskan Melalui TBRS Setakat 14 Ogos – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Sebanyak 5,838 permohonan berjumlah RM40.73 juta telah diluluskan melalui Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) setakat 14 Ogos, 2020, meningkat daripada 3,459 permohonan pada minggu sebelumnya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM22.05 juta telah disalurkan dan dimanfaatkan oleh 3,053 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro.

Bagi Pembiayaan PKS PENJANA, sehingga 14 Ogos, sebanyak 803 permohonan bernilai RM234.7 juta telah diluluskan, katanya dalam laporan LAKSANA yang terkini hari ini.

Bagi Kempen E-Dagang kepada Perusahaan Mikro dan PKS, katanya sehingga 14 Ogos, sebanyak 71,000 PKS Mikro telah menerima manfaat daripada inisiatif ini, meningkat daripada 63,000 PKS Mikro pada minggu lepas.

“Kempen E-Dagang ini merupakan inisiatif yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menggalakkan penggunaan e-dagang oleh PKS dan PKS mikro dengan memudahkan peralihan kepada digitalisasi perniagaan melalui program yang dibiayai bersama antara kerajaan dan 20 platform e-dagang.

“Platform e-dagang yang terlibat akan menyediakan kemudahan latihan ‘onboarding’ e-dagang, subsidi jualan, dan khidmat sokongan jualan.

“PKS Mikro dan perniagaan tempatan yang mahu menyertai kempen tersebut boleh mendaftar menerusi www.go-ecommerce.my/PENJANA,” katanya.

Sementara itu, bagi Dana Pinjaman Mudah PKS di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), katanya sejumlah RM10.1 bilion nilai permohonan telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS, yang akan memberi manfaat kepada 22,143 PKS.

“Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Automasi dan Digital, Kemudahan Semua Sektor Ekonomi dan Kemudahan Agromakanan.

“Dana Kemudahan Bantuan Khas telah menerima permintaan yang sangat memberangsangkan dan telah dimanfaatkan sepenuhnya. Lebih 21,000 PKS di seluruh Malaysia telah menerima kemudahan ini dan telah membantu dalam mengekalkan lebih 400,000 pekerjaan,” katanya.

Dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi, katanya PKS juga boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Bank Negara Malaysia (BNM) seperti Kemudahan Automasi dan Digital, Kemudahan Semua Sektor Ekonomi dan Kemudahan Agromakanan.

“PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.