Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 Dibentang

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang yang dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan Suruhanjaya bebas.

Ia juga bagi mempertingkatkan integriti pasukan polis, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis dan menggalakkan keyakinan orang awam terhadap pasukan polis.

Rang undang-undang itu juga bertujuan memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk melantik seorang setiausaha yang akan menjadi ketua pengawai eksekutif.

Selain itu, rang undang-undang itu mencadangkan bahawa Suruhanjaya boleh menerima aduan atau menguruskan aduan yang dirujuk kepadanya mengenai salah laku dan mengadakan peruntukan bagi penubuhan Jawatankuasa Aduan.

Ia juga bertujuan mengenakan kewajipan ke atas pasukan polis untuk merujuk kepada Suruhanjaya mengenai apa-apa kejadian yang melibatkan jenayah seksual atau apa-apa kejadian yang mengakibatkan cedera parah atau kematian terhadap mana-mana orang yang pada masa itu berada dalam tahanan atau jagaan anggota polis.

Dalam pada itu, Suruhanjaya juga boleh mengarahkan pasukan petugas untuk menyiasat lanjut jika tidak berpuas hati dengan dapatan atau syor yang dibuat Jawatankuasa Aduan dan hendaklah memaklumkan pengadu mengenai tindakan yang diambil ke atas aduannya.

Rang undang-undang itu juga mengandungi peruntukan kesalahan bagi seseorang yang mengugut, menghina atau mencederakan mana-mana orang yang memberikan keterangan di hadapan Suruhanjaya.

Ismail memaklumkan bacaan kali kedua rang undang-undang berkenaan akan dibentang pada persidangan kali ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.